JENAMA pisau cukur antarabangsa, Gillette mendapat tamparan hebat selepas melancarkan iklan terbaru produk berkenaan di YouTube dalam usaha menyokong gerakan #Metoo dan mencabar maskuliniti toksik.

Dalam iklan berkenaan, anak syarikat gergasi global Proctor & Gamble itu menyeru golongan lelaki untuk tidak melakukan perlakuan seperti buli, gangguan seksual dan gangguan terhadap wanita.

Menarik juga persoalan yang dibawakan iklan terbaru Gillette itu, iaitu 'Adakah ini yang terbaik yang boleh diperoleh seorang lelaki?’.

Ia antara lain menggalakkan golongan lelaki untuk bertanggungjawab menjaga tingkah laku antara satu sama lain.

Bagaimanapun, mesej iklan itu dipenuhi dengan reaksi berbeza daripada netizen terutamanya daripada golongan lelaki sendiri.


Ada yang mengatakan ia berunsur politik dan menggambarkan seolah-olah kaum lelaki hanya sebagai pengacau wanita dan penyerang seksual.

Ada juga yang menyokong dan menghargai usaha produk berkenaan dalam membawakan lebih kesedaran kepada kaum lelaki demi generasi akan datang.





Video berkenaan setakat ini mendapat 6.2 juta tontonan dan lebih 400 ribu dislike.

Gillette dalam satu kenyataan berkata, sudah tiba masanya jenama mereka memainkan peranan dalam mempengaruhi budaya.