Bagi komuniti karyawan seni khususnya yang terlibat dalam pembikinan filem, berpeluang menghadiri majlis berprestij seperti Festival Filem Cannes tentunya menjadi impian dan kepuasan, apatah lagi jika tercalon untuk tayangan khas mahupun dipertandingkan.

Begitu juga bagi pelakon berkarisma Wan Hanafi Su, 66, yang menganggap impiannya kini tercapai apabila filem Apprentice terbitan produksi Singapura terpilih untuk tayangan perdananya di Cannes.

"Saya dah lama bermimpi untuk lakonan saya ditayangkan di Cannes.

"Bila dah umur 66 tahun ni, baru tercapai impian saya, maka saya rasa terharu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Baginya, Apprentice yang terpilih sebagai antara filem yang membuat tayangan perdana di Festival Filem Cannes membuatkan dirinya rasa puas apabila karya dinikmati penonton yang datang dari seluruh dunia.

Tidak kurang dengan itu, Wan Hanafi turut menganggap ia sebagai satu cabaran baharu untuknya melakukan lebih baik pada masa hadapan.

"Ia takkan habis di sana. Kalau Tuhan izinkan lagi saya untuk bekerja, saya akan buktikan yang lebih daripada apa yang orang lain anggapkan sebagai cukup baik," tambahnya.

Filem arahan Boo Junfeng itu melakarkan sejarah tersendiri buat pengarah berasal dari Singapura berkenaan kerana ia merupakan filem kedua arahannya berjaya ditayangkan di Cannes.

Tayangan perdana Apprentice di Cannes dijadualkan pada 17 Mei ini dan seterusnya bakal ditayangkan di pawagam Singapura, Jerman, Perancis, Hong Kong dan Qatar.