Penyanyi terkenal, Nora Ariffin tidak kisah berhabis duit untuk membeli tiket bagi menyaksikan persembahan atau konsert yang diadakan oleh penyanyi lain.

Menurut Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 46, dia masih mahu mencari ilmu dan pengalaman baharu menerusi cara terbabit.

"Saya masih teringat ketika masih bergelar artis baharu dulu, saya membeli tiket untuk menyaksikan persembahan Anita Sarawak.

"Saya saksikan sendiri aksinya, bagaimana dia menyanyi dan menghiburkan audiens. Semuanya memberikan saya satu pengalaman baharu.

"Sama juga dengan keadaan sekarang, jika saya berkesempatan dan tidak terikat dengan jadual kerja, pastinya saya tidak keberatan untuk membeli tiket bagi menyaksikan persembahan atau konsert artis baru.

"Bagi saya, industri kita kecil sahaja, jadi jangan nak berlagak. Tiada salahnya jika kita saling menghormati antara satu sama lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tak ada artis baharu atau lama pun yang berlagak dengan saya," seloroh Nora yang cukup popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema.

Mengulas mengenai kebanjiran artis baru yang diberi gelaran Budak Baru Nak Up (BBNU), Nora gembira kerana ia merupakan satu perkembangan sihat untuk industri muzik.

"Industri muzik kita semakin meriah, mereka juga tampil dengan pelbagai jenis lagu.

"Ramai yang bagus contohnya Syamel dan Ernie Zakri. Mereka patut diberikan lebih pendedahan.

"Artis BBNU perlu memberikan karya berkualiti kepada peminat dan menghargai peluang yang mereka dapat," katanya lagi.