Tokoh wartawan veteran dan aktivis seni Tan Sri Johan Jaaffar menegaskan industri kreatif di Malaysia memerlukan satu pusat sehenti yang menguruskan segala aspek berkenaan industri tersebut.

“Sekarang kita ada terlalu banyak pihak berkepentingan. Sedangkan negara seperti Singapura dan Korea ada satu badan saja yang menguruskan bakat, latihan, dan hak cipta para pengkarya,” jelasnya.

Dalam ucaptama sempena Forum Perbincangan Pra Kongres Budaya 2017, Johan mengambil contoh Media Development Authority (MDA) di Singapura dan Korea Creative Content Agency (Kocca) sebagai contoh pusat sehenti yang berjaya membangunkan industri kreatif.

Kewujudan pusat sehenti seperti ini, menurutnya, satu pendekatan yang lebih baik berbanding terlalu banyak agensi dalam industri kreatif tempatan seperti Perbadanan Filem Nasional (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita perlu belajar daripada Korea Selatan. Sekarang semua orang kenal produk kreatif mereka. Kita mahu pada masa hadapan, apabila orang tonton filem Malaysia, nampak ciri budaya dan citra kita seperti orang menonton filem Taegukgi,” tambahnya lagi, merujuk kepada filem Korea Selatan terbitan 2004 yang menggondol anugerah Filem Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50.

Johan turut menerangkan kepentingan pusat sehenti dalam menguruskan geran dan inisiatif kewangan secara berpusat kepada industri kreatif agar tidak berlaku sebarang ketirisan yang hanya akan merugikan industri kreatif.

Forum Perbincangan Pra Kongres Budaya 2017 dianjurkan hari ini di Pusat Kebudayaan Islam Antarabangsa (Citra) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai bengkel satu hari bagi menyiapkan resolusi sektor kandungan kreatif yang bakal dibentangkan di Kongres Budaya 2017 pada 15 April.

Kongres tersebut bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.