Dua kumpulan kugiran tempatan kegemaran anda berpeluang beraksi di pentas Rock The World pada 9 Disember ini.

Sebanyak 140 kumpulan berentap untuk memiliki peluang keemasan ini, di mana peminat boleh ‘mengundi’ lagu pilihan mereka menerusi playlist Road to Rock The World 2017 di laman web Raku.my dan aplikasi Raku di App Store dan Playstore.

Caranya mudah sahaja, iaitu dengarkan lagu band kegemaran anda dengan menekan butang play.

Jumlah play terbanyak akan dikira dan diangkat sebagai pemenang, dan senarai pemenang akan diumumkan melalui Facebook Raku.

Pada masa sama, Pengarah Raku, Rithan Vijay berkata ia merupakan satu platform untuk membuka peluang lebih luas bagi kumpulan muzik anak muda yang mempunyai bakat tersendiri

“Anak muda tempatan kita ramai yang berbakat namun mereka tidak mendapat platform untuk terus maju ke hadapan. Raku mempunyai visi dan misi untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat tempatan.

“Dengan adanya playlist ini, peminat di Malaysia dapat memberi sokongan dan mendengarkan karya-karya yang dipersembahkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bermula pada tahun 2000, Rock The World merupakan festival muzik yang memperjuangkan karya muzik tempatan.

Festival yang paling dinanti-nantikan setiap tahun ini turut mempromosikan makanan dan jenama tempatan.

Peminat dapat menikmati muzik tanpa henti dari jam 11 pagi hingga tengah malam. Ia bakal diadakan di parkir B, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.