Tutup

"Ini hadiah terbaik dari kami sempena Hari Kemerdekaan" - Sri Dasmesh Pipe Band

"Ini hadiah terbaik dari kami sempena Hari Kemerdekaan" - Sri Dasmesh Pipe Band
Kumpulan pancaragam Sri Dasmesh Pipe Band mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara di Kejohanan Band Pipe Dunia yang berlangsung di Scotland. -
KUMPULAN pancaragam Sri Dasmesh Pipe Band yang baru-baru ini muncul juara Kejohanan Pipe Band Dunia di Scotland, menyifatkan kejayaan mereka sebagai hadiah terbaik sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 pada 31 Ogos ini.

Menurut salah seorang anggota kumpulan tersebut yang merupakan Drum Sergeant, Tripert Singh Khalsa, mereka bangga kerana Malaysia merupakan satu-satunya kumpulan dari Asia Tenggara yang muncul juara.

"Sebenarnya sukar untuk mengungkapkan perasaan ini apabila nama kami diumumkan sebagai juara.

"Perasaan bangga itu sudah pastinya banyak apabila kami melihat Jalur Gemilang berkibar di pentas utama.

"Kemenangan ini kami hadiahkan kepada Malaysia dan ini merupakan hadiah terbaik dari kami sempena Hari Kemerdekaan negara yang akan disambut pada hujung bulan ini.
"Jangan tanya apa yang negara boleh buat untuk anda, tetapi apa yang anda boleh buat untuk negara.

"Sri Dasmesh sudah melaksanakan tanggungjawab kami, kami sudah bawa balik trofi dan meletakkan Malaysia di mata dunia.

"Semua orang di Scotland terkejut, kami berjaya menewaskan kumpulan di sana dan menang trofi," katanya kepada Gempak.

BACA: Pipe band dari Malaysia muncul juara kejohanan dunia
BACA: Juara dunia Sri Dasmesh setanding pancaragam Eropah


Tripert berkata demikian ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi.

Terdahulu, kumpulan pancaragam Sri Dasmesh Pipe Band mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara di Kejohanan Band Pipe Dunia yang berlangsung di Scotland, Sabtu lalu.

Sri Dasmesh Pipe Band muncul juara keseluruhan serta mendapat tempat pertama dalam kategori 'drumming' dan 'best parade'.

Ini merupakan kali kedua Malaysia mengambil bahagian dalam siri dunia yang dianjurkan oleh Persatuan Royal Scottish Pipe Band.


Seramai 8,000 peserta membabitkan 195 kumpulan berkumpul di Glasgow Green selama dua hari terakhir iaitu 16 hingga 17 Ogos.

Kesemua kumpulan terdiri daripada 13 negara termasuk New Zealand, Australia, Kanada, Austria, Switzerland, Eire, Amerika Syarikat, Belgium, England, Sepanyol, Malaysia, Ireland Utara dan Scotland.

Tag: Kejohanan Pipe Band Dunia, Malaysia, Scotland, Sri Dasmesh Pipe Band, Amerika Syarikat, KLIA, Jalur Gemilang, MerdekaKU, NegaraKU


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.