Bermula sebagai seorang penyanyi dan pelakon, kini nama Mark Adam dijulang di pentas komedi apabila menerima habuan wang tunai RM100,000 dalam sebuah pertandingan realiti semalam.

Mark yang dinobatkan sebagai juara bagaimanapun tidak pernah terfikir bahawa kemenangan itu akan berpihak kepadanya sekali gus menewaskan barisan pelawak handalan lain seperti Achey, Issey, Shuk dan Ajak.

“Sekiranya anda terfikir untuk melakukan sesuatu, anda hanya perlu cuba untuk melakukannya.

"Segala kemampuan kita akan terbukti sekiranya kita berani untuk mencuba dan berikan yang terbaik dalam setiap apa yang kita lakukan,” ujar Mark ketika dihubungi Astro AWANI.

Lebih mengejutkan apabila penyanyi lagu Pencuri itu membuat pengumuman untuk berkongsi hadiah kemenangannya dengan memberikan wang tunai bernilai RM15,000 kepada setiap peserta.

“Bagi saya, rezeki itu untuk dikongsi memandangkan kami di belakang tabir sudah seperti sebuah keluarga. Kalau ada sesiapa yang kurang, kami akan bantu antara satu sama lain,” tambahnya lagi.

Tambahnya lagi, baki wang kemenangan itu akan digunakan sebaiknya untuk ahli keluarga dan mengadakan kenduri kesyukuran bersama-sama peminatnya untuk berkongsi kegembiraan atas kemenangannya itu.

Antara selebriti lain yang turut mewarnai pentas komedi itu ialah Khir Rahman, Uqasha Senrose, Shahrul Shiro, Anne Achey (Isteri Achey) dan Syafiq Kyle.

Rancangan terbitan sebuah stesen televisyen swasta yang diadili Saiful Apek itu telah disiarkan selama tujuh minggu pada jam 10 malam setiap Ahad bermula 14 Januari lalu.