DATIN Seri Nur Shahida Mohd Rashid isteri kepada jutawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mahu menambah bilangan cahaya mata sebelum umurnya mencecah 35 tahun.

Menurut Shahida, dia dan Aliff berhasrat untuk menimang cahaya mata lagi tahun ini dan benar-benar berharap mereka dikurniakan sepasang bayi kembar.

“Saya mahu anak ramai sebab saya lihat sendiri situasi saya dengan keluarga.

“Walaupun saya mempunyai adik beradik yang agak ramai, tapi apabila sudah dewasa, semuanya sudah pasti akan memiliki keluarga sendiri dan akan jarang bertemu dengan ibu bapa.

“Sebab itu saya mahu anak yang ramai, sebab saya takut apabila tua nanti saya rasa sunyi jarang bertemu mereka.

“Sekarang saya sudah memiliki lima orang anak termasuk seorang anak angkat, jadi saya berharap agar saya dikurniakan bayi kembar, maka cukuplah tujuh anak saya,” ujar Shahida.

Shahida berkata demikian ketika ditemu bual di sambutan Hari Keluarga anjuran syarikat yang diasaskannya bersama suaminya, D’ Herbs bertempat di Pulau Langkawi yang diadakan sejak Jumaat hingga hari ini.

Acara ini diadakan bertujuan untuk meraikan usaha dan kejayaan lebih dari 100 orang kakitangan mereka di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Aliff dan Shahida yang berkahwin pada Ogos 2007 mempunyai empat orang cahaya mata iaitu Ammaar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham dan Yusoff Al Qardawi dan seorang anak angkat.