Isteri pelakon veteran terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi tadi.

Menurut laporan portal BH Online, Datin Hashimah Aksan, 64, meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan jantung.

Memetik kenyataan Jalaluddin kepada portal itu, pembedahan yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu bertujuan untuk membuka kembali saluran jantung.

"Saya dimaklumkan berlaku komplikasi selepas pembedahan dan doktor mengesahkan isteri saya meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi tadi," kata Jalaluddin seperti yang dipetik dalam portal itu.

Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas Zohor.

Hasil perkongsian hidup Jalaluddin dan Hashimah, mereka dikurniakan lapan orang anak.