GABUNGAN Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) menggesa kerajaan segera mewujudkan satu akta bagi melindungi penggiat seni supaya semua artis sama ada baru atau lama mendapat hak sama rata.

Pengerusinya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, dengan adanya akta itu nasib artis lebih terbela termasuklah dengan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang pencen dan sebagainya.

"Sampai bila artis nak minta sumbangan dan belas ihsan? Kena cari alternatif supaya bila mereka sakit dan tak laku sekurang-kurangnya mereka ada pendapatan.

"Misalnya ketika tahun 90-an artis itu hebat dan laku bahkan banyak drama dia berlakon. Bila tua dan tak ada orang nak ambil berlakon, mereka tak ada pendapatan.

"Isu ini sebenarnya kritikal, kita nampak cara terbaik adalah dengan adanya satu akta," katanya yang juga seorang pengarah terkenal.

Tambah Jurey, sebelum ini penggiat seni sudah meminta kerajaan membincangkan isu akta berkenaan namun hingga kini masih dipandang sepi tanpa ada keputusan tuntas.

"Misalnya berkaitan gaji pembantu rumah, cepat pula penetapan bayaran RM900 dibuat. Begitu juga berkaitan gaji minimum pengawal keselamatan. Penetapan gaji dapat dibuat dengan adanya akta berkaitan," katanya.

Tegas Jurey lagi, itu sebabnya begitu penting akta berkenaan diperkenalkan demi melindungi artis kerana akibat ketiadaan akta khas dalam industri seni menyebabkan isu bayaran kepada artis masih tidak selesai biarpun artis itu sudah berpuluh tahun bekerja.

"Kita tengok pada hari ini, yang sudah 20 tahun dalam industri, bayarannya masih sama. Ini dipersoalkan orang ramai.

"Bayaran kepada jurukamera dan kru juga masih di tahap sama. Bila kita bercakap, penerbit pun dapat harga yang sama, jadi kita nak tuduh siapa? Isu tuduh menuduh antara satu sama lain memang berlaku dalam industri akhirnya industri masih statik dan tak bergerak dari segi pendapatan," katanya.

Jurey berkata, sudah menjadi mentaliti semua pihak tidak akan patuh pada undang-undang selagi tiada akta dan penguatkuasaan.

"Contohnya baru-baru ini kerajaan buat keputusan berkenaan pemotongan KWSP bagi suri rumah, jadi semua orang akan ikut sebab ia tertakluk kepada undang-undang.

"Kalau hari ini kerajaan boleh kuatkuasakan bahawa semua penggiat industri kreatif mesti ada KWSP, mungkin 'production house' akan buat pemotongan dan sebagainya," kata Jurey.

Ketika ditanya apakah kesan bila tiada akta tersebut, beliau berkata, nilai komersial industri seni tiada standard.

"Ada yang letak harga atas populariti. Untung kepada mereka yang dipilih stesen televisyen kerana popular dan menyumbang rating tinggi kerana stesen televisyen akan pilih artis yang boleh meningkatkankan 'rating' penonton.

"Mereka nak iklan banyak masuk. Macam artis veteran walaupun kualiti lakonan bagus tetapi mereka sudah senja (berusia) dan tak ada nilai komersial, maka penerbit pun bayar pada harga rendah.

"Ini antara dibangkitkan yang mana tak ada satu standard dan garis panduan ukuran untuk bayaran kepada artis. Maka di sinilah pentingnya perana CCIG," katanya.

Untuk rekod, CCIG ditubuhkan pada 2011 dalam usaha meningkatkan taraf hidup ahli-ahlinya sekali gus meningkatkan kuantiti serta kualiti produk-produk seni sekali gus kebajikan penggiat dalam industri seni kreatif akan lebih terpelihara daripada aspek kadar gaji lebih kompetitif, hak-hak pekerja dalam perundangan negara, sokongan karier serta perlindungan harta intelek.