PELAKON Nur Fazura, menepis dakwaan bahawa dia kini sedang hamil selepas sekeping foto yang dikatakan menampakkan perubahan pada bahagian perutnya menjadi tular.

Menurut Fazura kepada BH Online, gambar tersebut terlihat demikian disebabkan oleh potongan dan material pakaian digayakan olehnya, bukannya 'baby bump' yang menandakan dirinya sedang hamil.

"Ia bukan 'baby bump', sebaliknya hanya biasan kain yang saya pakai.

"Mungkin rekaan dan material yang digunakan menampakkan seolah-olah saya sedang hamil.

"Untuk gambaran lebih jelas, boleh lihat sendiri video yang dimuat naik di akaun Instagram kelab peminat saya, @fazbulouswarriors.

"Apa pun, saya bersyukur di atas doa anda semua. Insyaallah, jika ada khabar gembira, pasti akan saya kongsi pada masa paling sesuai," katanya.

Sebelum ini. gambar yang dimuat naik oleh aktres berkenaan, dua hari lalu, mendapat komen positif pengikut dan netizen, yang rata-rata gembira dengan perkembangan terbarunya itu.

Fazura mendirikan rumah tangga bersama pelakon Fattah Amin pada 27 November tahun lalu.