Pelakon jelita Izara Aishah mengakui tidak puas melakonkan babak-babak aksi dalam sebuah filem.

Menjayakan filem J Revolusi, Izara memegang watak seorang wanita yang bekerja sebagai anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

“Filem ini memerlukan saya menjayakan beberapa babak aksi. Dalam sesi latihan dan penggambaran sebenar, saya mengalami cedera ringan seperti lebam-lebam.

“Saya suka martial arts jadi saya tak kisah menjayakan babak-babak aksi. Selepas menonton filem tersebut, saya sendiri rasa tak puas. Kalau boleh, saya mahu jayakan lebih banyak babak aksi.

“Jika ada tawaran filem lain yang memerlukan saya menjayakan lebih banyak adegan lasak dan babak aksi, saya tentu akan menerimanya dengan hati terbuka,” kata Izara kepada Astro Gempak.

Tambah Izara, dia gembira melihat hasil filem ini kerana sebelum ini dia tidak pernah menjayakan karakter yang memerlukan dirinya melakukan babak aksi.

“Saya rasa bangga kerana filem ini mengangkat lakonan saya ke satu tahap lain. Filem ini menyaksikan saya menjadi seorang yang berbeza berbanding filem-filem sebelum ini.

“Saya selalu menerima watak sedih dan watak berat, tetapi naskah ini menampilkan saya membawakan watak aksi,” katanya lagi.

Filem J Revolusi yang turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nur Fazura akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Mac 2017.