PELAWAK popular Abam (Bocey) memberitahu tidak mahu menonjolkan isteri, Siti Norhidayah Mohd Ali terutama di media sosial kerana baginya, wanita kesayangannya itu adalah privacy.

Abam berkata, dia lebih selesa Hidayah menjalani kehidupan seperti isteri -isteri lain di luar sana tanpa perlu didedahkan kepada umum.

“Saya lebih selesa jika kehidupan kami suami isteri tidak dikongsi secara terbuka. Lagipun saya yang bekerja dalam bidang ini, bukan isteri.

“Kalau boleh, saya tidak mahu libatkan isteri langsung dengan kerja saya. Biarlah dia jalani kehidupan seperti biasa.

“Bagi saya, isteri saya adalah privacy saya, tetapi itu tidak bermakna saya akan sorokkan dia atau tak bagi keluar rumah,” katanya ketawa.

[[BACA: Abam Bocey Sah Bergelar Suami Dengan Sekali Lafaz ]]

Tambah Abam, tidak semestinya kebahagiaan rumah tangga seseorang itu perlu dikongsi di media sosial.

“Saya ambil contoh Datuk Rosyam Nor, beliau tidak mendedahkan kehidupan keluarga kepada umum dan akan berkongsi mengenai kerjaya sahaja.

“Saya mahu begitu. Kebahagiaan tidak diukur melalui media sosial,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, Abam memberitahu dia sudah merancang untuk membawa isterinya ke sebuah lokasi cuma bukan dalam masa terdekat.

[[BACA: Senyuman Abam Buat Hidayah ‘Cair’]]

“Perancangan itu ada tetapi bukan dalam masa terdekat kerana saya terikat dengan beberapa projek dan sibuk sedikit.

“Insha Allah, jika tiada aral melintang selepas resepsi saya pada 20 Januari nanti kami akan cari masa berbulan madu,” katanya.

Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 29, bergelar suami kepada Siti Norhidayah Mohd Ali, 25, dengan sekali lafaz, pada 8 Disember lalu. -