"Saya tidak sangka filem Jagat mampu meraih kemenangan sebagai Filem Terbaik Malaysia dalam Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) lalu kerana proses pembikinannya begitu rumit," kata pengarah filem itu Shanjhey Kumar Perumal.

Beliau yang turut merangkul Anugerah Pengarah Baharu Terbaik pada festival berprestij itu tidak menyangka filem sulungnya mampu bersaing dengan filem lain yang dianggap lebih berpotensi untuk menang.

"Antara cabaran untuk mengarah filem ini adalah kekangan bajet selain masalah pemilihan pelakon yang menyebabkan saya memilih pelakon bukan dalam kalangan artis berbangsa India," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Shanjhey yang mula berkecimpung dalam industri kreatif lebih 10 tahun lalu telah mendapat ilham untuk menghasilkan filem berkenaan berdasarkan kehidupan yang dilaluinya ketika kecil.

"Pada dasarnya Jagat satu kelegaan kepada saya sebenarnya, semasa saya menghasilkan Jagat dan saya terangkannya kepada orang ramai saya rasa begitu lega. Malah seorang daripada pembuat dasar, beliau menghubungi kami, nak lihat sendiri Jagat dan memahami komuniti India di Malaysia bagi membantunya menggubal dasar-dasar untuk mereka.

"Saya fikir, mungkin ini memang sudah ditakdirkan buat saya, untuk sya memberitahu dan dokumenkan kehidupan golongan ini demi kebaikan semua," katanya yang juga penulis skrip filem bahasa Tamil itu.

Shanjhey turut berharap filemnya dapat membuka peluang kepada penggiat seni minoriti lain supaya tampil dengan karya mereka tersendiri dalam industri filem tempatan.

"Saya harap Jagat akan membuka laluan kepada pembikin filem lain, terutamanya minoriti untuk menceritakan tentang kebudayaan mereka dan bahasa ibunda mereka, kerana adalah amat penting untuk kita berbuat demikian pada masa dan zaman ini," katanya.

Filem Jagat mengisahkan tentang realiti kehidupan masyarakat India Malaysia di awal 90-an melalui kaca mata seorang budak lelaki berumur 12 tahun, Appoy.

Mengangkat tema penebusan, filem itu dilihat mampu membawa penonton merasai kehidupan estet yang sinonim dengan masyarakat India pada masa itu yang penuh dengan onak duri.

Pada FFM28 yang diadakan pada 3 Sept tahun ini, filem terbitan Skyzen (M) Sdn Bhd itu berjaya mengalahkan sembilan judul filem yang dipertandingkan dalam kategori sama termasuk Ola Bola dan The Kid From The Big Apple.