PENGACARA dan pelakon, James Corden akan kembali mengacarakan Tony Awards ke-73 pada Jun akan datang.

Perkara tersebut telah disahkan oleh penerbit acara tersebut pada Selasa.

Ini merupakan kali kedua Corden dipilih sebagai pengacara anugerah yang meraikan kecemerlangan penggiat teater selepas beliau mengacarakan acara yang sama pada tahun 2016.

Semasa mengemudikan acara itu buat pertama kali pada tahun 2016, Corden telah mendapat banyak komen yang positif menerusi pengacaraannya buat anugerah berprestij itu.

Dalam satu kenyataan, pengacara The Late Late Show with James Corden itu berkata dia sangat gembira untuk kembali mengemudikan acara tersebut.

"Saya amat gembira untuk kembali mengacarakan Anugerah Tony dan dapat menjadi sebahagian daripada malam yang istimewa ini," katanya kepada media antarabangsa.

Pada 2012, Corden pernah memenangi Anugerah Tony melalui pernannya dalam "One Man, Two Guvnors."

Anugerah Tony akan diadakan di Dewan Muzik Radio City New York pada 9 Jun ini.