Juri Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), Datuk Aznil Nawawi menyifatkan kebanyakan peserta MLM 2017 masih mengekalkan kualiti lawak yang lama.

Katanya, sebagai penyambung keceriaan yang dibawa Najip Ali sebelum ini, beliau mahu melihat persembahan lawak yang segar daripada peserta MLM 2017.

"Saya agak kecewa, kerana dah masuk minggu ke lapan, masih ada kumpulan yang 'krik krik' dalam menyampaikan lawak mereka di pentas MLM 2017.

"Antara peserta yang agak segar lawaknya ialah Dzawin, mungkin kerana ini kali pertama dia menyertai MLM 2017," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Ketika ditanya mengenai lawak menyindir yang dilihat amat dekat dengan penonton, beliau menyifatkan budaya Malaysia ada pendekatan tersendiri dalam menyampaikan mesej menerusi kandungan hiburan yang dihasilkan.

"Sejak zaman P. Ramlee lagi, lawak yang diberikan bersifat menyindir ketidaksempurnaan dalam masyarakat tetapi ia dibuat dengan penuh santun serta lebih banyak beralas.

"Kalau nak banding dengan lawak di Barat, kebanyakannya tidak beralas malah tidak mempedulikan individu yang terkena tempias lawak mereka.

"Bagi saya ini bukan budaya kita malah masyarakat kita belum bersedia untuk lawak seperti ini.

"Biarlah kita terus begini kerana lawak gaya barat bukan cara kita dibesarkan.

"Jangan gadaikan cara hidup, susila, kesantunan kita semata-mata untuk letakkan diri kita sama tinggi atau sama hebat kononnya dengan cara orang yang lebih moden," tegasnya.