PELAKON dan penyanyi Janna Nick tidak akan berhenti menyanyi biarpun menerima kecaman sesetengah pihak.

Baru-baru ini, persembahan Janna di satu majlis anugerah menjadi tular di laman sosial dan menerima kritikan segelintir netizen.

"Kalau orang cakap saya tak bagus ketika itu, saya terima suara saya tak sedap, tapi saya takkan jadikan alasan itu untuk berhenti menyanyi.

"Kritikan membuka mata saya untuk menjadi lebih baik. Bukannya saya tak pernah menyanyi secara langsung di stesen televisyen.

"Sebelum ini saya pernah menyertai Separuh Akhir Muzik-Muzik, saya pernah menyanyi di beberapa program serta karnival tetapi situasinya berbeza kerana perkara tersebut tidak menjadi tular.

"Ketika itu, kesilapannya adalah saya tiada jurutera bunyi, saya kurang latihan dan keadaan tekak saya teruk. Tetapi saya tak menjadikan alasan itu sebagai salah satu punca saya dikecam," katanya ketika ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 Meriah Bersama di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerima segala kecaman dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik, Janna tidak mahu bersikap bongkak.

"Saya tidak bongkak sehingga mahu berkata 'kalau tak suka dengar suara saya, tutuplah radio, tak payahlah tengok'. Saya tidaklah seperti itu.

"Saya mencari rezeki dalam bidang ini. Selagi lagu saya masih diterima, saya anggap itu rezeki dan ia menjana pendapatan.

"Saya terima kecaman itu untuk menjadikan saya lebih baik. Saya akan terus hasilkan single dan pada masa yang sama, perbaiki suara saya dengan menghadiri kelas vokal.

"Insya-Allah, saya bakal merakam single terbaru ciptaan Ippo Hafiz dan liriknya hasil nukilan saya tetapi proses itu tertangguh kerana tekak saya masih belum berada dalam tahap yang baik," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Janna yang bergelar duta Vivo bakal diterbangkan khas ke Rusia oleh jenama telefon pintar terbabit dan bakal menyambut Syawal di sana untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2018.