Pelawak Jep Sepahtu mencatat sejarah tersendiri apabila buat kali ketiga berturut-turut merangkul gelaran Artis Lawak Lelaki Paling Popular di Anugerah Lawak Warna 2015 (ALW2015) yang berlangsung malam tadi.

Selain Jep, Sharifah Sakinah juga turut boleh berbangga apabila sekali lagi merangkul gelaran Artis Lawak Wanita Paling Popular, anugerah yang sama dimenanginya tahun lalu.

Kejayaan Jep turut diiringi dengan kejayaan kumpulannya, Sepahtu yang merangkul anugerah Artis Lawak Duo atau Berkumpulan Paling Popular. Peminat Sepahtu sudah pastinya teruja apabila Jep dan Shuib diiringi oleh Mamat, Rahim dan Pak Ya sewaktu tampil ke atas pentas menerima anugerah tersebut.

Sementara itu, filem Gila Baby telah mendominasi malam ALW2015 apabila meraih 5 dari 13 kategori terbaik yang dipertandingkan.

Gila Baby terbitan Grand Brilliance telah meraih gelaran Filem Komedi Terbaik, Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (Filem) menerusi Beto Khusyairi, Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Filem) menerusi Nadiya Nisaa, Lakon Layar & Skrip Komedi Terbaik (Filem) menerusi Alfie Palermo dan pengarahnya sendiri iaitu Khabir Bhatia telah dipilih sebagai Pengarah Komedi Terbaik (Filem).

Pelawak Jihan Muse turut pulang dengan senyuman apabila memenangi Pelakon Komedi Wanita Terbaik (TV) manakala telemovie lakonannya Jihan Nak Buat Rumah Terbuka meraih anugerah iaitu Telemovie Komedi Terbaik dan pengarah telemovie tersebut iaitu Syed Khairul Farez diiktiraf Pengarah Komedi Terbaik (TV).

Anugerah Khas Juri bagi malam ALW2015 kali ini telah dianugerahkan pelawak veteran, AR Badul di atas sumbangannya kepada industri komedi tanah air.

Malam kemuncak ALW2015 telah berlangsung dari Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Hos untuk acara yang mengiktiraf industry komedi tanah air ini ialah Dato' AC Mizal bersama Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Ianya telah disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134).