Abang Michael Jackson, Jermaine Jackson berpendapat keputusan Zayn Malik meninggalkan kumpulan muzik remaja lelaki terkenal di dunia, One Direction, perlu dilihat secara positif, khususnya untuk membolehkan penyanyi remaja pujaan ramai itu memburu impiannya menjadi penyanyi solo.

"Saya rasa, sekiranya Zayn ingin bergerak secara bersendirian, dia perlu diberi kebebasan dan ruang untuk memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo ," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Mesej The Jackson Five itu difahamkan bertujuan untuk memujuk hati berjuta-juta peminat One Direction (1D) di seluruh dunia - terutama remaja perempuan - yang kecewa dengan pengumuman minggu lepas bahawa Zayn telah meninggalkan 1D.

Abang raja Pop itu tentulah lebih memahami keadaan ini kerana Michael sendiri, yang mula menyertai Jackson Five pada 1964, meninggalkan kumpulan itu pada 1971 ketika berusia 17 untuk memburu cita-citanya dan ternyata Michael mencapai kejayaan amat luar biasa sebagai penyanyi solo.

Jermaine, yang menarik diri daripada Jackson Five untuk menjadi penyanyi solo, berada di sini bersama tiga adik beradik lelakinya daripada Jackson Five untuk mengadakan persembahan pada Petronas Malaysia Grand Prix Gala 2015 bagi membantu Bidara Kedah.

Ketika golongan muda dari seluruh dunia, terutama remaja perempuan, masih bersedih dengan keputusan Zayn itu, namun mereka perlu sedar bahawa langkah tersebut bukanlah menandakan berakhirnya kerjaya penyanyi hebat ini. Mungkin, dia mengambil langkah seperti yang pernah diambil Michael Jackson dahulu.

Michael meninggalkan Jackson Five kerana berpendapat, selagi berada dalam kumpulan itu, beliau terhalang daripada memburu impiannya untuk menyanyi secara solo, walaupun ketika itu, kumpulan berkenaan sudah menjadi sensasi dunia, dengan beliau sendiri menjadi penyanyi dan penari utamanya.

Secara kebetulan, Zayn juga memiliki nada suara paling tinggi dalam kalangan anggota 1D dan dikatakan antara suara paling bertenaga dalam industri muzik.

ID adalah sebuah kumpulan muzik pop remaja lelaki Inggeris-Ireland, yang dianggotai Niall Horan, Liam Payne, Harry Styles, Louis Tomlinson dan Zayn.

Mereka telah menghasilkan empat album yang memecah rekod dunia iaitu Up All Night, Take Me Home, Midnight Treasures dan Four, yang menduduki tangga teratas di pasaran utama, serta menghasilkan banyak lagu pujaan ramai seperti What Makes You Beautiful, Live While Were Young, Story of My Life dan Steal My Girl.

Jermaine berkata, seperti perpecahan lain dalam sejarah muzik, nasib sesuatu kumpulan itu adalah pelbagai, tetapi keputusan seseorang untuk berundur daripada kumpulannya untuk meneruskan perjuangan lebih besar sebagai penyanyi solo, adalah perkara biasa.'

"Selalunya, orang akan berkata: 'Oh! kekalkan saja ... anda tak sepatutnya pergi.

"Tetapi, jika dia tekun meneruskan apa yang dia tahu, maka dia akan berjaya," katanya.

Perkara serupa terjadi apabila Beatles berpecah, dengan John Lennon dan Paul McCartney menuju arah masing-masing untuk memburu kerjaya sebagai penyanyi solo, walaupun peminat tegar mereka terus bertanya apakah yang akan terjadi sekiranya mereka terus bersama.

Begitu jugalah halnya dengan Jermaine, yang melakar kejayaan besar ketika bergiat secara solo dari awal 1970-an hingga 1980-an.

Albumnya yang diterbitkan pada 1980, 'Let's Get Serious' dicalonkan untuk Grammy Award, manakala banyak lagunya seperti 'Daddy's Home', 'Feel the Fire' dan 'Let's Get Serious' menduduki tangga teratas Billboard's Hot 100.