Setelah dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Seri Azalina Othman mahu 'merakyatkan' perbadanan itu.

Ketika ditemui dalam satu sesi bersama media pada Rabu, Azalina berkata selain penggiat seni, orang ramai sepatutnya layak menerima bantuan daripada Finas.

"Finas dapat duit daripada kerajaan, iaitu duit rakyat juga. Kalau Finas tidak melakukan tugasan dengan baik, rakyat akan marah.

"Saya juga tidak boleh terima jikalau ada yang berkata susahnya untuk menjadi pembikin filem. Jadi saya mahu rapatkan hubungan itu. Saya mahu sesiapa yang mempunyai idea untuk langsung ke pusat Content Malaysia One Stop Pitching Centre di Platinum Sentral," katanya.

Selaku pengerusi baharu, beliau juga akan melakukan proses 'housekeeping' di Finas.

"Tugas pertama saya adalah untuk melantik ahli Lembaga dan senarai nama itu akan saya serahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Selepas itu, saya akan mengadakan mengadakan mesyuarat bersama mereka," kata Azalina.

Antara fokus beliau adalah soal kewangan, menilai apa yang telah dicapai industri perfileman dan memberi keutamaan kepada kandungan tempatan.

"Akhir sekali, isu wang akan menjadi keutamaan. Ada penggiat seni akan tanya 'Berapa wang saya akan dapat', jadi kita harus meniliti semua aspek ini dalam masa terdekat.

"Saya mahukan industri ini boleh menjana pendapatan. Ia juga selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang antaranya mahu memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan daripada industri kreatif," katanya.

Ahli Parlimen Pengerang tersebut dilantik sebagai Pengerusi Finas oleh Ahmad Shabery pada 1 Jun.