Tutup

The Journey filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan

The Journey filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan
Filem The Journey masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
KUALA LUMPUR: ‘The Journey’, filem yang dipersembahkan oleh Astro Shaw dan diterbitkan oleh Woohoo Pictures hari ini diumumkan sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah perfileman negara apabila mengumpul kutipan tiket sebanyak RM12.92 juta (setakat 23 Februari).

Setelah 25 hari berada di pawagam seluruh Malaysia sejak ia ditayangkan pada 30 Januari lalu, jumlah penonton masih belum berkurangan, melanggar trend tradisi filem-filem yang ditayangkan sebelum ini.
Filem tersebut mengenepikan filem arahan Syamsul Yusof, KL Gangster yang sebelum ini meraih kutipan RM11.74 juta sewaktu ditayangkan pada tahun 2011.

Pengarah filem tersebut, Chiu Keng Guan berkata, “Terima kasih kerana menjadikan filem The Journey sebagai filem paling laris dalam sejarah. Pihak produksi filem ini termasuk pelakon dan pekerja filem merasa bersyukur dan terkejut dengan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang tidak henti-henti mempromosikan filem ini menerusi Facebook, Twitter, Instagram dan perbualan harian mereka. ‘The Journey’ ialah sebuah filem buatan Malaysia yang menepati citarasa rakyat tempatan melangkaui budaya dan generasi, dengan meraikan nilai-nilai ketaatan kepada ibu-bapa, kasih sayang, perpaduan keluarga, kepelbagaian budaya dan juga pertembungan budaya Timur dan Barat serta ketegangan hubungan ibu bapa dan anak.”

‘The Journey’ turut menerima pujian daripada personaliti seni tempatan. Pelakon Sharifah Amani menyiarkan satu entri di Instagram beliau yang berbunyi – “A cross-continental story that explores the idea of culture, not just as tradition but as an expression of love. No hantu with bad make up. No big stars overdoing it. No crash boom bang. But full of love, tradition and beauty. I'm so glad I had the opportunity to watch this beautiful film. (Cry like gila) My favourite Malaysian film so far this year. With amazing shots, wonderful story and honest performances The Journey is hard to beat. Well done director, cast and team. Thank you for a beautiful film. There is still hope for Malaysian films. Syukur Alhamdulillah.

Pelakon filem Hanyut, Datin Sofia Jane turut menyatakan pandangannya, “I’m glad for its overwhelming run. I enjoyed it tremendously. Wished my dad was around to watch it with me. #TheJourney.

Ben Andrew Pfeiffer yang memegang peranan sebagai Benji dalam filem tersebut berkata, “Saya terharu dengan sambutan terhadap filem ini. Filem ini benar-benar dimiliki oleh rakyat Malaysia. Ia adalah hasil yang indah untuk mereka yang terlibat dalam pembikinannya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Astro Shaw kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada seluruh pasukan produksi.


Ia akan menjadi sebuah filem yang akan terus bertakhta di hati semua yang telah menyaksikannya untuk tempoh masa yang lama. The Journey akan menjadi satu khazanah budaya dan negara.”

Selain Ben Andrew Pfeiffer, pelakon lain antaranya seorang pesara berusia 74 tahun Frankie Lee dan pemenang gelaran Miss Astro Chinese International Pageant 2007 Joanne Yew merupakan pelakon amatur dan lakonan mereka dijelmakan secara jujur di atas layar perak.

Filem ini mengisahkan seorang bapa konservatif yang tidak bersetuju apabila anak perempuannya mahu berkahwin dengan seorang bangsa asing. Filem ini berlatar kepentingan konsep kekeluargaan, tema universal yang relevan kepada semua budaya tanpa mengira latar belakang.

Astro akan terus berusaha untuk memperbanyakkan lagi bakat-bakat baru dalam usahanya untuk membangunkan kepelbagaian bakat dalam industri filem tempatan.

‘The Journey’ merupakan filem ketiga daripada trilogy yang diarahkan oleh pengarah Chiu Keng Guan setelah menghasilkan Woohoo! (2010) dan Great Day (2011), kedua-duanya turut meraih kutipan yang tinggi di pawagam.

‘The Journey’ masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan bakal memasuki tayangan di Singapura pada bulan Mac depan. Filem ini juga bakal diedarkan di Taiwan dalam tahun ini.