PELAKON jelita Siti Saleha tidak merancang untuk mendapatkan zuriat dalam tempoh tertentu sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada rezeki Allah.

Malah, Saleha juga memberikan ruang untuk dirinya menyesuaikan diri bergelar seorang isteri selepas mendirikan rumah tangga Julai lalu.

"Soal anak kalau ada rezeki, adalah. Saya tidak pernah merancang dan tidak mahu merancang. Soal rezeki bukan saya yang tentukan.

"Menjadi seorang isteri sudah tentu tanggungjawab pun berubah dan setiap individu yang mahu melangkah ke alam rumah tangga perlu bersedia dan tahu apa yang perlu buat," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri crime thriller Mandatori di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama enam episod adaptasi novel terkenal Ramlee Awang Murshid itu menjalani penggambaran dua hari selepas majlis persandingan Saleha pada Ogos lalu.

Berkorban kata Saleha, suaminya, Ahmad Lutfi Azhar tidak menghalang minatnya dalam dunia lakonan dan memberikan peluang untuk dia kembali berlakon selepas kali terakhir muncul menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku tahun lalu.

"Penggambaran drama bersiri ini dilakukan dua hari selepas majlis persandingan saya dan saya terima tawaran ini sebab sudah gian nak berlakon.

"Memang betul perlu berkorban apabila penggambaran pun kebanyakannya pada waktu malam namun Alhamdulillah suami saya banyak menyokong," tambah Saleha.

Mandatori dibintangi oleh Aeril Zafrel, Vanidah Imran, Iedil Putra dan Alvin Wong itu akan ditayangkan di Astro First Eksklusif bermula 14 Disember.

Dengan hanya RM19.10, penonton boleh menikmati semua enam episod berulang kali dalam tempoh lima hari dari waktu pembelian.

Untuk pilihan lebih fleksibel, Mandatori turut didapati menerusi platform digial On Demand.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @sallywho