HASIL bedah siasat prosiding inkues mendapati vokalis kumpulan The Prodigy, Keith Flint meninggal dunia akibat gantung diri.

Menurut koroner Lynsey Chaffe, siasatan dijalankan mengikut standard operasi prosedur yang ditetapkan oleh pihak polis.

Hasil siasatan inkues turut mendapati Flint berlari sejauh lima kilometer dalam masa 21 minit beberapa hari sebelum meninggal dunia.

Katanya, post mortem tersebut dijalankan Khamis minggu lalu dan perbicaraan tersebut ditangguhkan ke 23 Julai nanti.

Pada 4 Mac lalu, Flint ditemui mati di kediamannya di Essex, London dipercayai akibat membunuh diri.

BACA: Vokalis Prodigy, Keith Flint ditemui mati di rumahnya

Laporan awal juga mendedahkan Flint mati akibat bunuh diri.

Flint yang terkenal dengan gaya rambut ‘spiky’ dan sentiasa bertenaga setiap kali beraksi di pentas kali terakhir membuat persembahan di New Zealand bulan lalu.

Persembahan tersebut merupakan sebahagian daripada konsert jelajah kumpulan tersebut yang dijadualkan sehingga Mei nanti.

The Prodigy merupakan sebuah kumpulan genre elektronik yang ditubuhkan pada 1990 dan cukup terkenal dengan single hit mereka Breathe and Firestarter.