Jika disebut kumpulan Kemala mungkin ramai dalam kalangan generasi baharu agak jarang mendengari nama itu atau tidak mengenali siapakah mereka.

Namun bagi orang lama dan 'otai' muzik rock kapak, mereka merupakan antara kumpulan rock yang dihormati kerana masih bertahan di persada hiburan tanah air sehingga kini.

Ini kerana tidak banyak kumpulan rock yang mampu bertahan ketika industri muzik tanah air bertukar arah jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan era rock kapak iaitu sekitar 80an dan 90an.

Menurut penyanyinya Muzaffar Shah yang juga dikenali sebagai Muz, Kemala telah ditubuhkan sejak 1991 lagi.

Kumpulan ini sebenarnya kumpulan yang cukup popular ketika era 90an dahulu iaitu kumpulan Ekamatra sebelum namanya ditukarkan kepada Kemala.

Difahamkan nama itu ditukar kerana berlaku perubahan kepada anggota kumpulan asal.

“Anggota asal kumpulan Ekamatra sebenarnya tinggal Acid (drum) dan Eddie (keyboard). Ketika itu kami setuju untuk menukar nama daripada Ekamatra kepada Kemala kerana tidak mau lagi dikaitkan dengan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI pada Rabu.

Kini kumpulan itu masih kekal dengan enam anggotanya iaitu Muz selaku vokalis, Arab (gitar), Rosli (gitar), Kalis (bass), Eddie (kibord) dan Rashib.

Di era yang menyaksikan lambakan pelbagai genre muzik yang baharu selain kesuraman yang dilalui geng rock kapak, Kemala masih mahu kekal dengan imej dan bawakan muzik asalnya tanpa menghiraukan kehendak pasaran semasa.

Ini kerana bagi mereka irama rock masih mempunyai ramai pengikutnya yang tersendiri walaupun mengakui kehendak semasa pasaran.

“Apapun yang berlaku ketika ini Kemala tetap Kemala dan alhamdulillah sehingga kini kami masih aktif dan masih menerima jemputan daripada pelbagai pihak.

"Biarlah industri meriah dengan pelbagai genre muzik. Kemala sendiri masih ada show, jadi alhamdulillah setakat ini. Selain show, kami juga aktif di media sosial.

Album mereka bertajuk 'Kemala 92' pernah diterbitkan pada 1992 dengan memuatkan lebih 10 buah lagu.

Tentu ramai yang masih ingat lagu popular mereka 'Kasih Di Hujung Hari' yang boleh dikatakan malar segar sehingga kini.

Kekuatan vocal Muz memang diakui menjadi sebab lagu-lagu mereka masih diterima sehingga kini selain susunan muzik yang mantap.

“Kami akui cabaran peluang masa kini tidak seperti dahulu, tapi bagi anggota Kemala, perjuangan tetap diteruskan atas dasar minat lebih-lebih lagi ketika ini pemain drum Kemala Acid sedang bertarung melawan penyakitnya yang menghidap kanser saraf dan memerlukan bantuan dana.

"Jadi kami tidak boleh berhenti di sini. Ada juga peminat-peminat setia yang masih bertanyakan kenapa album kami tidak dipasarkan semula. Jadi. bagi saya, banyak sebab yang memerlukan kami terus berjuang,” kata Muz lagi.