PENYANYI Ariana Grande terpaksa menutup ruang komen di akaun Instagram miliknya selepas kematian penyanyi rap, Mac Miller.

Miller merupakan bekas kekasih Grande dan keduanya pernah menjalinkan hubungan selama dua tahun, sebelum Grande menamatkan hubungan itu, Mei lalu.

Peminat Miller mula menyerang akaun Instagram Grande dan menyifatkan kematian Miller berpunca daripada tindakan Grande memutuskan hubungan mereka.

Biarpun tidak memberi penjelasan terperinci mengapa dia mengambil keputusan itu, namun peminat menyifatkan tindakan Grande sebagai kejam, apatah lagi selepas itu Miller mula terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol.

"Kalau saya tidak gembira dengan hubungan itu, takkan saya mahu meneruskannya hanya kerana mahu menggembirakan dia (Miller)?" kata Grande dalam satu kenyataan, sambil memberitahu akan sentiasa menyokong Miller sebagai sahabat.

Sewaktu pasangan itu berpisah, Miller dilaporkan baru sahaja selesai merakamkan sebuah album yang mengandungi 10 buah lagu, yang kesemuanya bercerita tentang cintanya terhadap Grande.

Miller ditemui mati di rumahnya di California, menurut laporan agensi berita Amerika Syarikat.

Laporan tersebut turut menyatakan penyanyi berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah.