Selebriti cef dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob berkongsi kenangan paling indah yang tidak dapat dilupakan oleh beliau sepanjang mengenali Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah.

Menurut Fazley, kenangan berurusan dengan Sultan Pahang kelima itu ketika menjadi pengelola dan pengendali konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London, antara pengalaman paling manis buatnya.

Menurutnya, dalam kejadian pada 2005 beliau ditugas untuk menguruskan kotak Diraja (Royal Box) yang dimiliki oleh Birmingham Palace.

“Saya menyatakan kepada Almarhum Tuanku bahawa royal box itu saya siapkan buat keluarga Almarhum Tuanku. Jadi, setelah saya mendapat surat daripada Birmingham Palace, menyatakan bahawa kotak itu boleh digunakan oleh wakil-wakil VIP dari Malaysia.

“Saya mengadap Almarhum Tuanku dan Baginda menyatakan bahawa kita buat ini untuk rakyat Malaysia, untuk anak Pahang dan dengan senyuman Almarhum baginda pada ketika itu, saya tidak akan lupa hingga sekarang dan sumbangan Almarhum Tuanku terhadap industri seni terhadap pembangunan industri seni,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.


Selain itu katanya, beliau juga berpeluang untuk menguruskan majlis-majlis melibatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan keluarga Diraja Pahang.

“Keluarga Almarhum Tuanku banyak datang ke Putra World Trade Centre (PWTC). Jadi mengendalikan majlis-majlis Almarhum Tuanku, milik keluarga (seperti) mengendalikan makanan, malahan membuat persembahan nyanyian di hadapan keluarga Almarhum menjadi pengalaman yang terindah buat saya,” ujarnya.

Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, hari ini, kira-kira jam 8.50 pagi pada usia 89 tahun.