IKON muzik Country, Shania Twain membuat permohonan maaf selepas secara terbuka selepas mengaku akan mengundi Donald Trump sebagai presiden, sekiranya dia seorang warganegara Amerika Syarikat.

Menerusi akaun media sosial, Twain, pemegang kewarganegaraan Kanada, mengakui kesilapannya membuat kenyataan yang tersebut yang disifatkan sebagai tidak kena tempat.

"Saya mohon maaf jika jawapan itu tidak menyenangkan. Saya hanya cuba menerangkan situasi tentang pilihan raya tersebut, dan komen saya merujuk Trump sebagai seorang yang senang didekati rakyat, bukan sebagai ahli politik.

"Tetapi saya akui komen itu tidak kena tempat, dan ia bukan bermakna saya menyokong nilai yang dibawa Trump sekarang," tulisnya.

Portal berita, The Guardian pada Sabtu mengeluarkan satu temubual dengan Twain yang antara lainnya membicarakan tentang pendapatnya tentang situasi politik.

Dalam jawapannya, Twain, yang merupakan salah seorang bintang Country dengan jualan album tertinggi dalam sejarah, memaklumkan dia akan memilih Trump pada pilihan raya AS pada 2016, kerana "walaupun bermulut lancang, tetapi Trump seorang yang jujur."

Ia menerima kritikan peminat, terutama di AS yang tidak sependapat dengan Twain.

"Saya hilang hormat terhadap Shania Twain. Donald Trump jujur? Dia manusia paling banyak tipu muslihat," kata pengguna Twitter, @mrmetacrisis.