Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menjadi saksi kolaborasi terulung ‘Raja Pop’ Datuk Jamal Abdillah bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dalam satu konsert extravaganza yang diadakan di sini, pada Sabtu.

Konsert ‘The MPO with Jamal Abdillah’ ini menjadikan Jamal sebagai artis tempatan kelima yang pernah mengadakan konsert solo bersama MPO.

Penyanyi legenda kelahiran Ipoh ini mempersembahkan 12 buah lagu sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam itu.

Tepukan gemuruh penonton mengiringi Jamal tatkala beliau muncul segak berkaca mata hitam dengan sut putih untuk mendendangkan medley lagu Aku Penghibur dan Kau Lupa Janji sebagai lagu pembukaan konsert itu.

Persembahan di bawah siri ‘DFP Presents’ ini diiringi lebih 60 pemuzik bertaraf antarabangsa himpunan MPO dan dipimpin Konduktor Residen, Ciaran McAuley.

Dalam konsert ini, penonton dibawa menyusuri perjalanan seni beliau dari zaman remaja di Teluk Intan, Perak sehingga ke tahap ini di mana beliau teguh berdiri sebagai seorang penyanyi tersohor di rantau ini.

“Saya rasa begitu terharu dengan kehadiran anda semua, memenuhi ruang-ruang yang ada di sini. Terima kasih banyak-banyak,” ujar Jamal kepada penonton di DFP yang rata-rata merupakan peminat setia Jamal sejak beliau memenangi pertandingan Bintang RTM tahun 1979.

Antara lagu lain yang dinyanyikan Jamal dan didengarkan interpretasi simfoni MPO adalah seperti Kekasih Awal dan Akhir, Seniman Menangis, Azura, Gadis Melayu, dan Medley Ghazal untuk Rabiah, Ghazal Asmara dan Samrah Mentari.

Konsert ini turut menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik dari muzik klasikal barat kepada runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jaz dan kontemporari.

Kolaborasi dinamik MPO bersama penyanyi lagenda ini disaksikan kira-kira 800 penonton yang berada dalam dewan yang berprestij itu.

Konsert ini berlangsung pada malam Sabtu dan petang Ahad dengan harga tiket dalam lingkungan RM180 sehingga RM480.

Sebelum ini, MPO pernah mengadakan kolaborasi konsert solo bersama Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza di dewan yang megah ini.