Tutup

Konsert Hati Emas Kembara untuk kembalikan semangat lama - M.Nasir

Konsert Hati Emas Kembara untuk kembalikan semangat lama - M.Nasir
Konsert Hati Emas Kembara untuk kembalikan semangat lama
KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Konsert Ekspres Rakyat yang diadakan di Esplanade Singapura tahun lalu, kumpulan lagenda Kembara bakal mengegarkan Istana Budaya pada 21 hingga 23 November ini.

Dalam tempoh tidak sampai seminggu konsert Hati Emas Kembara akan berlangsung, kumpulan yang pernah memberi impak besar kepada industri muzik tempatan itu giat menjalani latihan untuk memastikan peminat-peminat mereka berpuashati dengan persembahan yang bakal diberikan.
Mengembalikan semangat-semangat lama dan membawa nostalgia merupakan antara sebab utama konsert Hati Emas Kembara ini diadakan kata vokalis utama dan pengasas kumpulan Kembara, Datuk Dr M.Nasir.

"Saya sangat seronok nak lihat apa akan terjadi pada konsert itu nanti, element of suprise itu ada di situ.
"Kami (Kembara) ingin membawa nostalgia dan mengembalikan semangat-semangat lama yang ada ketika Kembara dikenali pada tahun 80an," katanya ketika menjadi tetamu Awani745.

Bercakap tentang persembahan yang sering mendapat perhatian penonton, M.Nasir menjelaskan beliau percaya melakukan kerja dengan jujur akan dapat menarik orang ramai untuk menonton.


Sebelum ini, ketika ditemubual Astro AWANI selepas sesi latihan di studio BYSNC, Petaling Jaya, M.Nasir berkata beliau bersyukur kerana dapat bersatu untuk konsert istimewa kepada peminat mereka.

Beliau juga berkata Konsert Hati Emas Kembara juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali kumpulan tersebut.

"Alhamdulillah impian untuk bersatu kembali dengan hampir semua anggota asal Kembara terlaksana khas untuk peminat-peminat di negara ini yang masih meminati dan merindui kami.

"Konsert itu selain mengubat rindu peminat Kembara di zaman 80an akan juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali siapa Kembara," katanya.

Kembara Ahmad Arkib
Ahmad Arkib salah seorang anggota Kembara yang menjadi sessionist sejak album pertama kumpulan tersebut

Kembara terbahagi kepada dua versi iaitu versi kumpulan harmoni yang tampil dengan lagu-lagu rakyat. Kumpulan ini pada awalnya dianggotai oleh M.Nasir, A.Ali yang turut bermain gitar dan S.Sahlan (Roslan Tajuddin).

Ketika merakamkan album ketiga, A.Ali dan S.Sahlan meninggalkan Kembara membuatkan M.Nasir mengambil keputusan untuk memanggil pemuzik-pemuzik yang bermain untuk Kembara bagi sesi rakaman Shahrum Basiron (drum), Rahman Suri (Bass), Md Shah Othman (Keyboard) dan Ahmad Arkib (keyboard) membentuk sebuah kumpulan serta mengekalkan nama Kembara dengan seorang anggota tambahan Zulkifli Mohamed atau Zoul sebagai Pemain Gitar Utama & penyanyi.

Kembara Rahman
Pemain bass Rahman Suri ketika sesi latihan di BYSNC Studio, Petaling Jaya

Untuk Konsert Hati Emas Kembara, Shahrum tidak dapat bersama dan tempat beliau diganti oleh Ujang Exist.

Kembara Zoul
Zoul yang juga adik M. Nasir pernah menubuhkan kumpulan Tenggara selepas Kembara di bubarkan dan telah menghasilkan tiga album solo di Singapura

Anggota ini terus kekal sehinggalah Kembara berpecah dan anggota kumpulan membawa haluan masing-masing. Sebanyak lebih kurang 65 buah lagu telah dihasilkan sejak dari awal, kebanyakannya karya M.Nasir, S.Amin Shahab & A.Ali.

Kembara Md Shah
Md Shah antara anggota asal Kembara dan bersama kumpulan itu sejak rakaman album pertama

Mengimbau kenangan penubuhan Kembara, A. Ali atau nama sebenarnya A.Ali@Hamdan Atan menjelaskan, Kembara ditubuhkan pada penghujung tahun 1979.

Kembara A.Ali
A.Ali dikenali dengan sound gitarnya yang sinonim dengan lagu-lagu Kembara untuk dua album pertama kumpulan tersebut
 
Katanya, M.Nasir mencadangkan supaya satu kumpulan vokal harmoni ditubuhkan dan menyampaikan lagu-lagu rakyat.

"Masa nak tubuhkan Kembara itu, saya main di kelab malam, M. Nasir ni selalu datang tengok dan dia bagitahu nak tubuhkan kumpulan vokal harmoni.

"M. Nasir dan S. Amin Shahab ketika itu selalu melepak di Wisma Indonesia di Singapura, mungkin dia tidur pun di situ.

"Jadi bila dia kata nak buat Kembara, saya cakap, cari lagu lah. Kemudian kami pun cari lagu, jadi M.Nasir dengan Amin bekerjasama, keluar lagu macam Hati Emas yang kita tak sangka sampai sekarang masih orang suka.

"Kemudian bila lagu dah ada semua, M.Nasir cakap kena cari seorang lagi anggota yang berasal dari Malaysia, jadi cari punya cari, jumpa lah Sahlan dan lepas pulak, jadi Kembara jadi tiga anggota," katanya kepada Astro AWANI.

Kembara S.Sahlan
S.Sahlan merupakan antara anggota awal kumpulan Kembara

Sementara bagi Ujang Exist, peluang bermain untuk Kembara bagaikan satu mimpi kerana tidak menyangka dapat bersama kumpulan yang diminati sejak kecil.

Kembara Ujang
Bermain untuk Kembara bagaikan satu mimpi - Ujang Exist

"Masa M. Nasir call, saya ingatkan dia main-main tapi sangka pulak memang saya diajak untuk main untuk konsert di Istana Budaya.

"Ini macam mimpi, kumpulan yang saya minta sejak kecil sekarang saya dapat main bersama mereka," katanya.

Kembara Rafi
Rafi merupakan pengarah muzik untuk konsert Hati Emas Kembara

Selain konsert, Kembara juga merakamkan kembali lagu-lagu mereka dan turut menghasilkan lagu baru untuk dimuatkan dalam sebuah album selepas konsert di Istana Budaya nanti.