Selepas kali terakhir mengadakan konsert di Dataran Putrajaya di sini, lima tahun lepas, penyanyi terkenal Maher Zain akan kembali bertemu peminat tanah air pada konsert jelajahnya, Mac ini.

Konsert 'Maher Zain Malaysia Tour 2019' bakal bermula pada 9 Mac ini di Axiata Arena di Kuala Lumpur pada 9 Mac, sebelum diteruskan ke Stadium Pasir Gudang, Johor pada 15 Mac, SPICE Arena, Pulau Pinang pada 16 Mac dan Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Mac.

"Saya tahu ramai peminat yang menanti sejak sekian lama untuk saya datang ke sini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini pada Selasa.

Maher, 37, penyanyi-penggubah lagu warga Sweden berketurunan Lubnan, berkata peminatnya di Malaysia seringkali memberi sokongan padu kepada kerjayanya dan beliau berharap konsert jelajahnya di negara ini berjaya.

"Selepas saya menghasilkan album pertama pada 2009, saya datang ke sini pada 2010 dan saya rasa ketika itulah nama saya mula menjadi sebutan ramai. Alhamdulillah… rakyat Malaysia sangat mesra pada saya," kata penyanyi itu yang popular dengan lagu 'InsyaAllah' dan 'For The Rest Of My Life'.

Semasa berada di negara ini, Maher ingin menikmati sate dengan kuah kacang kerana beliau begitu menggemarinya.

Maher, yang menghasilkan single terkini, Huwa AlQuran, tujuh bulan lepas, berkata konsert jelajah itu akan menampilkan pelbagai lagu popularnya dan beliau berharap peminat akan terhibur dengan persembahannya.

"Sewaktu saya di atas pentas, saya dapat melihat pelbagai emosi peminat, ada yang tersenyum, ada yang menitiskan air mata dan ada yang bagaikan sedang berfikir... mungkin berdoa," katanya.

Maher turut merakamkan beberapa lagu popularnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2011, iaitu InsyaAllah dan For The Rest Of My Life (Sepanjang Hidup).

Pada 2016, beliau datang ke Malaysia untuk mempromosikan album ketiganya yang dikenali sebagai 'One' dalam acara berskala kecil.

Semasa ditanya tentang kemungkinan menghasilkan sebuah album penuh lagu dalam bahasa Melayu, Maher berkata beliau belum ada sebarang perancangan, namun tidak menolak kemungkinan walaupun beliau tidak bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau juga menyanyi dalam bahasa lain, seperti Turki, Perancis dan Urdu.

-- BERNAMA