Persembahan dua figura tempatan bertaraf antarabangsa, Zee Avi dan Njwa sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang dijadual berlangsung pada 22 Mac di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), terpaksa ditunda kepada 22 Jun 2019.

Penganjur Showlab Ventures, Farhan Aizat dalam satu kenyataan hari ini berkata penundaan konsert gandingan sulung Zee Avi dan Njwa atau Najwa Mahiaddin itu berikutan beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, lokasi persembahan tidak berubah dan konsert akan bermula jam 8.45 malam.

“Kami berasa sedih dengan penangguhan ini. Kami akur dengan kemeriahan pelbagai jenis konsert yang berlangsung pada bulan Mac dan April ini dan merasakan bahawa keputusan terbaik ialah dengan menangguhkan acara kami.

“Di samping itu juga beberapa aspek teknikal yang perlu diambil kira bagi memastikan konsert ini berjaya dijalankan dengan lancarnya,” katanya.

Menyedari bahawa ia bakal menjadi buah tangan yang dinanti-nanti oleh peminat, Farhan menegaskan pihaknya berasa kesal dan sedih dengan keputusan penangguhan persembahan tersebut, yang konsepkan sofistikated, klasik dan elegan.

Bagaimanapun kepada peminat yang tidak sabar menyaksikan persembahan dua diva ini, boleh dapatkan maklumat lengkap dan lanjut di laman sosial penganjur iaitu Instagram: @showlab.my atau Facebook: Showlab MY.

NJWA mula dikenali pada tahun 2011 sebagai penyanyi dan penerbit sebelum menggondol anugerah Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik melalui Anugerah Industri Muzik ke-18.

Zee Avi mula mencipta nama sebagai penyanyi pada tahun 2009 melalui album Zee Avi dengan mempertaruhkan single bertajuk Bitter Heart.