Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu ungkapan tepat bagi menggambarkan nasib penyanyi berbakat Nurshahila Amir Amzah.

Beliau yang mesra dengan panggilan Shila Amzah, mula menempa nama dalam industri muzik peringkat global apabila bakatnya dijulang dalam Asian Wave, sebuah pertandingan nyanyian yang diadakan di Shanghai, China pada 2012.

Sejak daripada itu, beliau terus melebarkan sayapnya di bumi China yang disifatkan sebagai mata pencarian untuk Shila berkarya dalam bidang nyanyian.

Terbaharu, Shila Amzah merupakan penyanyi pertama di Malaysia yang berjaya melakar nama dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018.

BACA: Tersenarai dalam 'Forbes 30 Under 30' hadiah berganda buat Shila Amzah

Menurut Shila, antara faktor yang melayakkan beliau tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 adalah disebabkan kelainan yang dipersembahkan.

"Saya bukan sahaja bergiat aktif dalam industri di Malaysia dan China, malah saya juga memenuhi permintaan di Hong Kong.

"Selama 18 tahun saya melibatkan diri dalam industri ini, saya telah membuktikan kepelbagaian dalam bentuk persembahan saya contohnya menghasilkan lagu Mandarin buat peminat di China dan itu antara faktor yang melayakkan saya untuk menerima pengiktirafan berprestij sebegini.

"Pada pandangan saya, saya mahu pastikan tiada halangan untuk berkarya terutamanya dalam bahasa lain kerana pada saya kepelbagaian budaya dan bahasa dalam persembahan akan menyatukan orang ramai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.

Tambahnya, peluang untuk beliau memperbaiki mutu persembahan agak kurang di Malaysia. Justeru beliau mengambil keputusan untuk menimba ilmu serta pengalaman di China.

“Saya rasa peluang untuk memperbaiki mutu persembahan saya agak kurang di tanah air, dan saya mengambil keputusan untuk mantapkan dan hasilkan lebih banyak karya di China kemudian pulang ke Malaysia danm sumbangkan apa yang saya ada,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau dan pasangan pilihannya Haris Idraki Elias, 28 tahun, akan mendirikan rumah tangga 19 April ini.

Namun, tarikh resepsi pasangan ini akan diumumkan kelak.

BACA: Shila Amzah, Haris nikah bulan depan