PENYANYI Anuar Zain mendedahkan lagu-lagu yang dinyanyikan menjadi insiprasi dan semangat untuk seorang peminatnya yang menghadapi masalah rumahtangga.

Anuar berkata peminatnya itu sendiri mengakui dia berjaya menempuh kesukaran hidup selepas dicerai dengan mendengar lagu-lagu dendangannya.

"Sebenarnya ramai peminat yang datang kepada saya dan memberitahu selama ini mereka menjadikan lagu-lagu saya sebagai inpirasi dan semangat dalam hidup mereka.

"Kebanyakannya berjaya bertemu jodoh dan kekasih masing-masing selepas mendengar lagu-lagu seperti Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

"Paling terharu apabila ada seorang peminat datang kepada saya memberitahu dia baru sahaja mengalami masalah rumahtangga dan sudah bercerai. 

"Katanya lagu-lagu saya membantu dia mendapat semangat baru meneruskan hidup," katanya kepada Astro Gempak.

Mengenai perkembangan lain, Anuar bakal mengadakan konsert meganya Yonder Music Live Series By The Lake: Anuar Zain yang akan diadakan di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana pada 21 Januari 2017.