Bukan sekadar viral di media sosial, lagu 'Pen Pineapple Apple Pen' (PPAP) berjaya memasuki carta Billboard Hot 100 hasil jumlah penstriman yang memberangsangkan.

Memetik laporan Billboard.com, lagu PPAP memasuki tangga ke-77 pada 29 Oktober setelah menerima 5.7 juta penstriman melalui YouTube di Amerika Syarikat.

Ia turut tersenarai dalam carta Streaming Songs di tangga ke-46.

Lagu berdurasi 45 saat itu turut diiktiraf oleh Guinness World Records menjadikan ia lagu paling pendek pernah tersenarai dalam carta Billboard.

Lagu itu dimuat naik pada Ogos dan kini menerima hampir 200 juta tontonan di YouTube.

Ia menampilkan penyanyi dan penulis lirik Jepun Piko-Taro yang mengulang perkataan Pen (pen), Pineapple (nenas) dan Apple (epal).

Ia tidak mempunyai apa-apa maksud namun melodinya menghiburkan dengan gaya persembahan melucukan.