Peminat Altimet masih mempunyai peluang melihat artis kesayangan mereka itu di atas pentas biarpun penyanyi rap itu sudah mengumumkan pengunduran dari bidang nyanyian.

Teater merupakan satu cabang baharu yang mahu diterokai dan Altimet berazam mahu mengaut sebanyak mungkin ilmu dalam bidang itu.

"Saya suka teater kerana ilmu yang saya dapat belajar. Saya sudah terlalu lama dalam bidang muzik, saya sudah biasa dan tak banyak perkara baru untuk saya pelajari.

"Selain itu, energi dalam pementasan teater juga sesuatu yang sangat menarik bagi saya. Mereka satu pasukan yang besar dan bekerjasama dengan baik untuk menjayakannya," kata Altimet yang sebelum ini pernah membintangi beberapa drama dan filem.

Bagaimanapun, Altimet mengakui, cinta terhadap muzik bukan sesuatu yang boleh ditukar ganti biarpun tidak menolak untuk serius dalam bidang lakonan.

"Saya mungkin akan pertimbangkan lakonan sebagai satu kerja. Berbeza dengan muzik yang merupakan minat. Saya pernah cakap, kalau orang tak bayar pun, saya tetap akan tulis lagu sebab saya minat," katanya ketika ditemui dalam sidang media OlaBola The Musical 2 di Istana Budaya, pada Selasa.

Menyentuh tentang pembabitan dalam musim kedua teater muzikal arahan Puan Sri Tiara Jacquelina itu, Altimet yang memegang watak Sarjan Ahmad mengakui, sangat teruja namun berdebar menantikan reaksi penonton.

"Saya kena pastikan impak watak Sarjan Ahmad itu masih sama, atau mungkin lebih lagi bagi musim kedua.

"Ini satu cabaran kerana saya rasa masa di atas pentas akan dipendekkan. Tetapi apa yang penting, kami akan berikan yang lebih baik dari musim pertama," tambahnya.

OlaBola The Musical 2 akan dipentaskan di Istana Budaya dari 18 Februari hingga 3 Mac 2019.