Apabila media sosial mencanangkan mengenai tayangan tertutup sebuah cereka dari Indonesia berjudul 'Siti' untuk komuniti pencinta filem di Kuala Lumpur, pelawaan itu sama sekali tidak disia-siakan.

Keinginan untuk menontonnya turut didorong berita kemenangan pemegang watak utamanya, Sekar Sari, yang menggondol trofi Aktres Terbaik sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) November lepas.

Maka, bertempat di sebuah premis kafe di Jalan Panggung pada Sabtu lalu, penganjur acara Working Title Film Drinks berjaya menghimpunkan kelompok penonton antarabangsa dalam kalangan penggemar filem.

Disampul kemas dalam warna hitam putih, buah tangan sutradara Eddie Cahyono ini memaksa penonton fokus pada emosi seorang wanita bernama Siti yang bergelut dalam gelombang dilemanya.


Siti filem Indonesia
Filem ini telah menjulang nama teraju utamanya, Sekar Sari (kiri). -Foto Working Title Film Drinks
Warna-warna yang dihilangkan daripada layar sebenarnya perlu dipancarkan melalui ekspresi wajah dan bahasa tubuh Siti.

Ia suatu tanggungjawab berat untuk digalas pelakon baharu, namun cabaran itu telah ditatang berani oleh Sekar Sari di atas garis memuaskan.

Siti gigih menyara hidup dengan berjualan peyek jingking (rempeyek atau snek goreng) di Pantai Parangtritis, Yogyakarta selepas suaminya tidak lagi boleh ke laut kerana lumpuh akibat kemalangan.

Bukan sahaja lumpuh, suaminya juga hilang upaya lisan dan itu secara tidak langsung membuatkan hasrat zahir batin Siti bertambah sepi.

Tinggal di pondok buruk berlantai tanah dan berdinding anyaman, Siti turut berkongsi ruang sempit bersama ibu mertuanya.


Siti filem Indonesia
Buah tangan sutradara Eddie Cahyono ini memaksa penonton fokus pada emosi seorang wanita bernama Siti. -Sumber Foto Facebook Eddie Cahyono

Pada masa yang sama, dia perlu senyum dan ketawa demi menyalakan motivasi dan meyakinkan anaknya untuk meneruskan persekolahan.

Begitupun, fungsinya sebagai pengganti tulang belakang keluarga sering goyah, lebih-lebih lagi dia dikejar orang yang menuntut pelunasan hutang suaminya.

Cedera dengan ujian Tuhan yang berangkai-rangkai hingga adakalanya melayan melankolia dengan ombak laut, Siti dalam naratif ini terperangkap antara keinginan untuk lepas lari dari semua masalah atau terus menjaga prinsip sebagai penyelamat keluarga.

Di situlah dia memilih untuk bekerja sambilan sebagai wanita pelayan di sebuah bar karaoke pada waktu malam.

Dalam dunia penuh kabur asap rokok, arak memabukkan, muzik mengkhayalkan dan rangkulan hangat lelaki lain, keteguhan Siti sebagai wanita, isteri dan ibu teruji.

Bergerak dalam bingkai penceritaan yang perlahan dan lurus kehadapan, Eddie Cahyono sebagai pengarah begitu tenang membuka lapis-lapis sosiobudaya dalam kluster khusus masyarakat tempatan.

Harapan, penderitaan dan intrig kehidupan disampaikan melalui perlambangan gelora laut, riak wajah pemegang watak, dialog sinis dan juga gerak fizikal tubuh.

Selain menyelitkan sindiran tentang isu korupsi pihak berkuasa, filem ini sebenarnya lantang melaungkan aspirasi, beban dan peranan wanita dalam keluarga serta masyarakat.

Semua tanggungan itu dihadirkan bersama pertentangan nyata iaitu tipu daya serta kelemahan dalam membuat pertimbangan.

Sekar Sari yang kini dalam pengajian sarjana di Trondheim, Norway sewaktu dihubungi Astro AWANI memberitahu, dia telah cuba menjiwai kesulitan yang dihadapi Siti.

"Terbayang bagaimana rasanya ketika kita sudah tidak punya satupun pilihan.

"Bagaimana rasanya ketika kita sudah di ambang batas dan ingin menyerah tetapi ada orang lain juga yang harus kita tampung.

"Juga rasa bimbang untuk siapa sebenarnya kita hidup dan bertahan," katanya.

Menurut Sekar Sari, dia tertarik membawakan watak Siti kerana ia menginterpretasikan peranan wanita dalam masyarakatnya ketika ini.

"Perempuan Jawa dahulu sinonim dengan sumur, dapur dan katil. Dalam filem ini juga ada ketiga-tiganya, tapi hadir dengan konteks yang lain.

"Ceritanya juga menunjukkan realiti tentang kehidupan yang sederhana," jelasnya.

Ternyata bagi watak Siti, survival hidup dalam situasi tidak menentu adalah seumpama plastik nipis yang membungkus peyek jingking jualannya.

Plastik nipis itu harus terus memastikan isinya kekal segar dan rangup agar ia dapat dijual lagi keesokan harinya.

Plastik nipis itu ibarat batas harapan Siti yang paling lemah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

TRIVIA FILEM 'SITI'

Penerbit: Ifa Isfansyah
Pengarah: Eddie Cahyono
Bahasa: Jawa/Indonesia
Durasi: 95 minit
Produksi: Fourcolours Films, 2014
Tayangan Perdana: Festival filem Asia Jogja-Netpac
Tayangan Khas: Festival Filem Antarabangsa Singapura.
Tayangan seterusnya: Melbourne, Australia

Pihak penganjur acara Working Title Film Drinks merancang untuk memperkenalkan beberapa filem dari Asia Tenggara sepanjang tahun ini untuk tujuan kajian budaya dan rujukan akademik bagi para penggiat seni filem.