Meriah! Lebih 1,600 tetamu hadir ke tayangan perdana filem 'Rise: Ini Kalilah' di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya, hari ini.

WebTVAsia, syarikat hiburan media ternama telah menjadi hos di majlis tayangan perdana filem yang paling dinanti oleh rakyat Malaysia.

‘Rise’, sebuah filem cereka yang diadaptasi daripada kisah sebenar hasil idea penerbitnya, Fred Chong bakal ditayangkan kepada umum sempena Hari Malaysia.

Filem ini membawa penonton menyusuri latar kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia yang bergabung tenaga demi matlamat untuk melahirkan rasa kasih terhadap negara. Kisah enam individu berlainan plot cerita itu akan terjalin-kait pada tarikh keramat, 9 Mei, kemuncak Pilihan Raya Umum ke-14 yang menghidupkan semula suasana penuh debaran sewaktu berlangsungnya pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah sudi merasmikan acara tersebut bersama penerbit Fred Chong; pengarah filem Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha, Prem Nath dan Pengerusi One World Group Holdings Berhad, Tan Sri Richard Koh.

“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan menonton filem ini dan mengimbas semula detik bersejarah itu dan terus mengingatinya sebagai satu permulaan perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara yang lebih maju, aman dan makmur.”

Turut hadir ke acara itu ialah pelakon utama filem tersebut antaranya Remy Ishak, Mira Filzah, Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan, Shashi Tharan dan Mark O’dea.