Usai menonton filem Lelaki Harapan Dunia yang ditayangkan buat pertama kalinya di Malaysia malam tadi, ruang media sosial dibanjiri komen pengalaman setelah menonton filem tersebut.

Diarahkan oleh Liew Seng Tat, filem itu menerima reaksi pelbagai daripada penggiat seni dan karyawan filem tempatan.

Ada di antara mereka yang menyukainya, tidak kurang juga yang merasa terganggu dengan penceritaan yang dibawakan oleh pengarah yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Flower In The Pocket.

Reaksi pelbagai filem itu mengundang perdebatan ilmiah mahu pun berpaksikan emosi yang adakalanya sedikit tersasar dari objektif sebenar.

VIDEO: Selami pemikiran pengarah dan pelakon Lelaki Harapan Dunia

Ada di antara karyawan yang keliru sama ada untuk memakai songkok pengkarya atau pun songkok bangsa.

Filem bergenre komedi gelap ini bertunjangkan satira politik Melayu yang cukup sinis dan penuh simbolik dengan makna yang berlapis-lapis.















Turut hadir ke tayangan media filem itu ialah Ketua Pengarah FINAS Kamil Othman, selebriti antaranya Datin Sofea Jane, Vanidah Imran, Redza Minhat, Sharifah Amani, Bront Palarae, pengarah filem Saw Teong Hin, Dain Said dan ramai lagi.

Lelaki Harapan Dunia berlatar sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat salah faham di antara penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang (Wan Hanafi Su) telah dihuni “hantu”.

Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak mempercayai perkara tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Benarkah "hantu" itu "Orang Minyak"?

Lelaki Harapan Dunia telah ditayangkan di festival filem antarabangsa antaranya di Locarno, Toronto, Nara, Vancouver, Busan, Kolkata, Taipei dan banyak lagi.

Setelah menjelajah ke sirkit festival filem antarabangsa, filem Lelaki Harapan Dunia akan mula ditayangkan di seluruh Malaysia mulai 27 November ini.

Turut membintangi filem ini ialah Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid dan Hishamuddin Rais.