Saluran YouTube milik studio animasi tempatan, Les' Copaque Production berjaya mencecah 10 juta pelanggan semalam sekali gus layak menerima anugerah "Diamond Play Button" daripada platform perkongsian video dalam talian itu.

Ini pencapaian yang luar biasa dan amat membanggakan kerana ia merupakan Saluran YouTube pertama dari Malaysia mencecah 10 juta pelanggan.

Kejayaan merekodkan 10 juta pelanggan itu dicapai pada jam 2.06 petang semalam, menurut Les' Copaque Production dalam kenyataannya hari ini.

Sehingga Februari 2020, hanya 566 Saluran YouTube di seluruh dunia yang mencapai 10 juta pelanggan.

Saluran YouTube Les' Copaque diwujudkan pada 2009, dan kini telah mencecah lebih empat bilion tontonan.

Pihak produksi telah mengambil kesempatan itu menghasilkan video permohonan maaf daripada Fizi yang mencapai 19 juta tontonan hanya dalam tempoh seminggu.

-- BERNAMA