Pelakon terkenal Lisa Surihani menolak tawaran mengacarakan karpet merah Anugerah Akademi yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari depan.

Khabar terbaru yang diterima ini menguatkan lagi spekulasi pelakon yang juga isteri kepada pengarah Yusry Abdul Halim itu sedang hamil anak pertama mereka.

Lisa bagaimana pun tidak menjawab panggilan telefon daripada Astro AWANI, manakala ibunya pula enggan memberikan sebarang komen.

Lisa dan Yusry dijadualkan muncul dalam satu acara pelancaran trailer filem terbaru terbitan KRU Studios, “Cicakman 3” di Pavilion Kuala Lumpur pada 28 Januari depan.

Terdahulu, Lisa dikhabarkan sedang hamil menerusi laporan media pada Ahad sekaligus mengundang ucapan tahniah daripada peminatnya di media sosial.

Lisa mengikat tali perkahwinan bersama Yusry pada 23 Februari 2012.

Lisa Surihani memegang watak utama bersama Aaron Aziz dalam filem terbaharu 'Suamiku Encik Perfect 10' terbitan Astro Shaw yang mula ditayangkan sejak 22 Januari lalu.