Adakah anda bersedia untuk kembali ke tahun 2000-an dengan menyaksikan siri Disney yang pernah menjadi pujaan ramai satu ketika dahulu.

Setelah 14 tahun berlalu kini Hilary Duff mengesahkan bahawa Lizzie McGuire akan kembali menemui anda.

Duff, 31, yang baru sahaja selamat melahirkan anak kedua beberapa bulan lalu, memberitahu Fox News, Lizzie McGuire kini berada di tahap yang sangat baharu.

“Ia berada di tahap yang sangat baharu dan ia amat penting bagi saya dan juga orang ramai. Bagi saya jika ia dapat memberi satu inspirasi kepada gadis-gadis masa kini dalam kehidupan mereka ia mungkin satu perkara yang menakjubkan,” katanya.

Terdahulu, Duff enggan mengulas mengenai kemunculan semula siri ini kerana tidak mahu peminat atau orang luar cuba mencetus spekulasi liar mengenainya.