AMAZON bukan hanya berjaya merebut hak cipta siri televisyen Lord of the Rings (LOTR) daripada Netflix. Syarikat itu juga bakal memintas Crown yang juga terbitan Netflix sebagai siri televisyen paling mahal pernah diterbitkan.

Kos bagi merealisasikan karya JRR Tolkien itu ke layar perak dilaporkan berjumlah AS$1 bilion bersamaan RM3.87 bilion.

Amazon pada November tahun lalu berjaya mendapat hak untuk menerbitkan francais televisyen novel itu dengan nilai AS$250 juta (kira-kira RM970 juta) daripada Tolkien Estate.

Ia tidak termasuk kebenaran untuk menggunakan semua watak dalam karya itu.

Peter Jackson belum lagi mengesahkan sama ada akan terlibat dalam siri ini sebagai penerbit eksekutif.

Jackson adalah pengarah yang bertanggungjawab menghidupkan imaginasi Tolkien dalam enam filem LOTR termasuk trilogi The Hobbits.

Sementara itu, Sir Ian Mckellan secara terbuka menyatakan minatnya untuk kembali menghidupkan watak Gandalf.

“Saya tidak katakan ya kerana saya tidak ditanya.

“Adakah anda cadangkan pelakon lain untuk pegang watak itu? Gandalf berusia 7,000 tahun, saya bukanlah tua sangat,” kata Mckellan.