PELAKON wanita seksi dan kontroversi Indonesia, Luna Maya tidak akan merasa kekok untuk menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasih-kekasihnya.

Menurut bekas juri tetap program Maharaja Lawak Mega terbitan Astro itu lagi, sebelum ini dia pernah menghadiri hari bahagia lelaki-lelaki yang pernah singgah dalam hatinya.

"Mantan kekasih saya bukan hanya seorang. Beberapa tahun yang lalu mantan saya menikah, saya menghadirinya kerana diundang," kata Luna seperti dilaporkan portal berita Kompas.

Katanya, tujuan dia menghadiri majlis pernikahan bekas kekasih-kekasihnya itu disebabkan menghormati undangan.

"Ya kerana diundang maka saya pergi," tambah wanita yang juga pernah dikaitkan dalam skandal bersama penyanyi terkenal, Ariel (Noah).

Pelakon watak Suzzanna dalam filem Suzzana: Bernapas Dalam Kubur ini bagaimanapun mengakui, tidak semua bekas kekasih mengundangnya ke hari perkahwinan mereka.

"Ada juga kekasih pertama saya di mana kami bercinta selama dua tahun setengah. Saya tidak diundang sedangkan dia teman karib saya.

"Mengikut bekas kekasih saya itu, isterinya yang meminta agar jangan mengundang saya. Dia menghormati isterinya dan saya juga memilih untuk menghormati permintaan itu," cerita Luna lagi.

Kata pelakon itu, dia tidak kecewa atau kesal hanya kerana tidak diundang ke majlis perkahwinan bekas kekasih-kekasihnya.

Terbaharu, Luna juga baru saja putus cinta dengan Reino Barack yang dilaporkab bakal menamatkan zaman bujangnya dengan penyanyi Syahrini, di Tokyo, Jepun dalam waktu dekat.

Apakah Luna akan menerima undangan daripada Reino pula selepas ini?