Konsert jelajah dunia 'Rebel Heart Madonna' yang berlangsung malam tadi di Singapore National Stadium menghimpunkan hampir 30,000 peminatnya dari seluruh dunia.

Tanpa lagu kontroversi seperti Holy Water, Iconic dan Devils Pray yang sepatutnya dipersembahkan dalam konsert jelajah ini, penyanyi ikonik era 80an itu membuka persembahan dua jam dengan lagu Bitch, I'm Madonna.

Madonna diturunkan ke pentas dari dalam sebuah sangkar dan disambut jeritan peminatnya yang tidak sabar menunggu aksinya.

"Singapore, are you ready?," ulang Madonna beberapa kali.

Menurut James Lee wakil penganjur dari KingLun International Group yang berpejabat di Taiwan, konsert tersebut menelan belanja hampir USD14 juta.

"Madonna dipilih kerana beliau merupakan seorang penyanyi kelas A dunia. Kami selaku penganjur akan membawa penyanyi berkelas atasan sahaja. Ada beberapa nama yang akan kami bawa di masa Akan datang." tambah Lee lagi.

Jika di Manila penyanyi yang cukup terkenal dengan keceluparannya itu dikatakan telah menghina bendera Filipina, di Singapura tiada aksi atau kata-katanya yang dianggap sensitif.

Lebih-lebih lagi, konsert tersebut diklasifikasikan untuk tontonan dewasa yang berumur 18 tahun ke atas sahaja.

Jenaka dan aksi spontan Madonna membawa penonton untuk mendekati hidup penyanyi itu.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Crazy For Love, Material Girl, La Isla Bonita, Like A Virgin, Deeper and Deeper sebelum ditutup dengan lagu Holiday.

Lebih menarik apabila susunan muzik lagu-lagu malar segarnya yang telah diberikan nafas baru dalam elemen muzik yang lebih moden dan trend terkini.

Elemen paparan visual LED dan tatacahaya antara faktor kehebatan teknikal konsert tersebut.

Madonna turut dibantu barisan lebih 20 orang penari dan turut disertai seorang rakyat Singapura dalam segmen khas lagu Unapologetic Bitch.

Selepas Singapura, konsert jelajah Rebel Heart akan singgah di Sydney, Melbourne dan Perth di Australia.