PENYANYI dan pemenang Artis Pilihan Asia Tenggara di MTV Europe Music Awards 2018, Joe Flizzow mengakui masih menjalinkan hubungan baik dengan rakannya, Malique.

Menurut Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, dia baru-baru ini menerima ucapan tahniah daripada Malique melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sepelas memenangi anugerah di MTV Europe Music Awards 2018.

"Kami masih berhubung dan hubungan kami tidak akan terpisah kerana dia bukan sahaja kawan bagi saya malah kami merupakan seorang sahabat sejak dulu lagi.

"Baru-baru ini pun Malique ada berhubung dengan saya serta dia mengucapkan tahniah dan syabas diatas kemenangan yang saya perolehi.

"Cumanya kami jarang berjumpa dan meluangkan masa bersama kerana dia pun ada sibuk dengan kerjanya sendiri," katanya kepada Gempak.

Joe berkata demikian ketika ditemui pada majlis bersama media di Ana Patin House, di Mutiara Damansara , baru-baru ini.

Dalam majlis anugerah yang berlangsung di Sepanyol baru-baru ini, Joe menewaskan bintang Asia Tenggara lain seperti Afgan (Indonesia), IV of Spades (Filipina) dan The Sam Willows (Singapura).