Sekalipun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, namun semangat dan kecintaan pengarah filem tersohor, Mamat Khalid pada seni tidak pernah pudar.

Justeru, apabila diundang ke Majlis Pelancaran Dana Kreatif Perak @ Port yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Ipoh pada Isnin malam, Mamat tidak mampu untuk menolaknya.

Apa lagi Port atau Koloni Karyawan Amanjaya sentiasa dekat di hati Mamat menyebabkan beliau tekad hadir untuk memeriahkan acara berkenaan.

“Alhamdulillah abang sudah boleh keluar hari ni. Hari tu (sebelum ini) abang duduk dalam rumah saja... ada penyakit (kurang sihat).

“Sebenarnya, abang tak nak keluar (hospital) lagi, tapi apabila diberitahu Port panggil (jemput), YAB Menteri Besar datang untuk bagi dana pada anak-anak muda, kalau perlu abang bertongkat, abang akan bertongkat... kalau abang perlu merangkak pun, abang akan merangkak datang kerana kita harus beri sokongan kepada mereka," kata pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu kepada wartawan.

BACA: Mamat Khalid dimasukkan ke ICU, tunjuk reaksi positif


Kehadiran Mamat ke Majlis Pelancaran Dana Kreatif Perak @ Port menjadi tumpuan media dan tetamu kerana itu merupakan kemunculan Mamat buat kali pertama selepas berehat panjang akibat sakit.

Mamat khalid atau Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke hospital pada 13 Oktober lalu akibat sesak nafas yang berpunca daripada lebihan air dalam badan.

Akhir Januari lalu pula, Mamat, koma lebih dua minggu dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, akibat masalah sama.

Pada April 2017, pengarah popular itu pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor akibat kepenatan melampau.

Tiga tahun sebelumnya, sutradara disegani itu menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat berikutan masalah jantung.

BACA: "Alhamdulillah, jantung, buah pinggang saya okey"- Mamat Khalid