SENIWATI veteran, Datuk Seri Maria Menado mengakui tidak berasa rindu untuk kembali berlakon meskipun sering menonton filem-filem lakonannya ketika usia muda.

Dalam masa sama, Maria berpendapat, tiada apa yang perlu beliau dikesalkan khususnya selepas membuat keputusan untuk bersara dari gelanggang lakonan sekitar 1963.

Ini kerana, jelas pelakon kelahiran Indonesia itu, selama bergelar anak seni, beliau sudah dikurniakan masa dan kesempatan yang memadai.

"Saya tak berasa rindu untuk berlakon, saya merasakan sudah dikurniakan masa yang cukup dalam bidang lakonan.

"Meskipun saya tidak ada rasa rindu, tetapi setiap kali saya menonton lakonan saya dalam filem yang ditayangkan, saya akan menilai dan mengkritik lakonan saya sendiri.

"Saya selalu merasakan yang saya sepatutnya lakukan dengan lebih baik," katanya kepada Gempak.

Seniwati yang pernah membintangi filem Sultan Mahmood Mangkat Dijulang pada tahun 1961 ini berkata demikian ketika ditemui di malam gala filem Dendam Pontianak bertempat di eCurve baru-baru ini.

Dendam Pontianak yang diedarkan secara rasmi oleh Primeworks Studios itu menampilkan lakonan Nur Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Filem berkenaan bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula 12 September ini.

Mengulas mengenai Dendam Pontianak, Maria memuji kualiti filem tersebut secara keseluruhan.

"Walaupun saya rasa filem ini kurang seram, tetapi jalan penceritaan, emosi dan aspek lain boleh dikatakan sangat bagus," ujar beliau lagi.