Hampir 10 tahun berlalu sejak kali terakhir Matt Damon tampil di layar perak sebagai penyiasat handalan Jason Bourne.

Kini kerinduan para peminat karakter itu terubat apabila trailer terbaharu filem adaptasi novel Robert Ludlum ini ditayangkan buat kali pertama semasa waktu rehat suku pertama perlawanan Super Bowl hari ini.

Filem berjudul Jason Bourne itu merupakan filem kelima bagi siri Bourne. Tiga filem pertama iaitu The Bourne Identity, The Bourne Supremacy, dan The Bourne Ultimatum menampilkan Damon sebagai watak utama.

Damon bagaimanapun berehat dari filem keempat, The Bourne Legacy yang memberi ruang kepada Jeremy Renner untuk melakonkan watak utama sebagai Aaron Cross.

Jason Bourne turut menyaksikan Damon disatukan semula dengan pengarah Paul Greengrass yang sebelum ini menjadi teraju utama dalam Supremacy dan Ultimatum. Mereka juga pernah berganding dalam filem Green Zone.

Selepas 12 jam dimuat naik, trailer filem ini telah meraih lebih 2.7 juta tontonan di Facebook dan 580 ribu tontonan di YouTube.