ENGGAN mengundang fitnah, penyanyi Khai Bahar enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya melawat teman rapat industri, Wany Hasrita yang dimasukkan ke pusat perubatan ibu kota baru-baru ini.

Kata Khai, 24 tahun, melawat atau tidak biarlah ia menjadi rahsia antara dia dan individu yang dimaksudkan.

"Biarlah rahsia, saya tidak mahu orang salah faham dengan kenyataan saya dan boleh mengundang fitnah.

"Soal melawat atau tidak tidak perlu saya ulas lanjut," katanya kepada Astro Gempak.

BACA: Dijangkiti Influenza B, Wany Hasrita Dikuarantin Di Hospital

BACA: 'Kalau pergi show juga, saya culik dia' - Fairuz gurau manja dengan Wany Hasrita

Khai ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk sabun pembersih wajah C Clean Plus di Bora Ombak, Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Khai menegaskan dia tidak kisah digosipkan dengan sesiapa asalkan boleh menggembirakan hati peminatnya.

"Apa yang saya lakukan bersama kawan-kawan saya biarlah ikhlas, apabila sudah rapat dan selalu menghadiri acara bersama-sama, peminat nampak kami 'sweet'.

"Kalau sebelum ini dengan Wany, baru-baru ini ada pula peminat cakap saya rapat dengan Ara Johari.

"Apapun, saya tidak kisah digosipkan dengan sesiapa pun asalkan peminat-peminat saya gembira," katanya.

Keakraban Khai dan Wany semakin hangat diperkatakan peminat kedua-dua penyanyi itu apabila saling berbalas 'pick-up line' dalam rancangan televisyen CCTV bulan lalu.

BACA: Angin Cinta Yang Wany Hasrita Kirim Dah Jadi Taufan Dalam Hati Khai Bahar

Namun, Khai dan Wany sudah sedia rapat sejak mula menjadi artis dan pernah beberapa kali membuat persembahan nyanyian bersama-sama.

Teks oleh: Amri Hassan