Penyanyi Michael Buble, yang bakal melancarkan album terbaharunya, Love, pada bulan depan, menyatakan bahawa dirinya bersedia berehat sementara dari dunia nyanyian selepas anak lelakinya, Noah, didiagnos penyakit kanser hati.

“Apabila anda mengalami sesuatu seperti yang dialami keluarga saya, ia akan mengubah hidup anda,” ujarnya pada Selasa.

Penyanyi asal Kanada itu pada November 2016 berkongsi kisah Noah, yang berusia 3 tahun ketika itu, dikenal pasti menghidap kanser dan sedang menerima rawatan.

“Bagi saya, perkara ini membuatkan segalanya menjadi lebih jelas.

“Saya tiada masa, HIdup ini sangat pendek untuk berasa bimbang dan khuatir tentang apa yang orang lain katakan tentang anda,” ujarnya.

Tambahnya, adalah penting untuk berasa bebas dan mencari kebahagiaan dengan cara apa sekalipun.

Penyanyi berusia 43 tahun itu, yang melancarkan single terbaharu Love You Anymore tulisan Charlie Puth, beberapa hari lalu, menceritakan kisahnya dengan sepenuh rasa merendah diri.

"Saya kini mengerti maksud ihsan, dan saya percaya setiap keluarga menghadapinya dengan cara berbeza dan dengan kemampuan yang terbaik.

"Saya rasa adalah penting untuk kita mencuba yang terbaik, untuk dapat melihat ke hadapan, untuk mencuba supaya tidak terlalu lama berada dalam masa lalu,” ujarnya.

Penyanyi baru-baru ini menafikan laporan dalam Daily Mail yang mengatakan dia bersara dari dunia muzik.

Album Love mula dijual pada 16 November.